fb fb fb fb fb

Dana Komuniti Madani perkasa ekonomi masyarakat desa

Kerajaan akan memberikan dana maksimum RM100,000.00 untuk mulakan projek ekonomi

KUALA LUMPUR, 26 November - Dana Komuniti Madani berjumlah RM1 bilion langkah tepat ke arah memperkasa penduduk desa merancang pertumbuhan ekonomi mereka, kata pakar ekonomi Datuk Dr Madeline Berma.

Madeline percaya dana itu dapat membantu masyarakat desa mengatasi jurang pendapatan yang luas antara bandar, luar bandar dan pedalaman.

"Kita mendengar bagaimana kerajaan terutama sekali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau memberi peluang kepada mana-mana masyarakat desa untuk membangunkan sendiri projek di kawasan desa yang bersesuaian dengan penduduk setempat.

"Kita kerap mendengar pembangunan ataupun dana diperuntukkan terus dari atas ke bawah, namun jarang sekali kita mendengar rakyat diberi peluang untuk memikirkan, melaksana dan juga memantau projek mereka sendiri," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berharap Dana Komuniti atau seumpamanya diteruskan pada masa hadapan bagi menjamin kehidupan selesa masyarakat desa.

Semalam ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 bilion Dana Komuniti Madani bagi membantu masyarakat desa memulakan projek ekonomi sendiri.

Menerusi inisiatif itu, setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun Projek Perumahan Rakyat akan diberikan dana maksimum RM100,000.00 untuk mulakan projek ekonomi seperti kraf tangan atau hidroponik.

GRACE AISYAH KEDAYAN