KUALA LUMPUR, 14 November -Tiada satu pun laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat terhadap dakwaan wujudnya unsur habuan, umpan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya terdapat laporan berkaitan isu tersebut, kerajaan akan bertindak secara profesional bagi menguruskan laporan tersebut.
“Boleh saya katakan tuduhan tersebut sebagai cakap-cakap luar. Saya ingin ulangi pihak polis khususnya, kita tidak akan ada sebarang tolak-ansur terhadap sebarang bentuk perlakuan jenayah yang boleh menjejaskan ketidakpatuhan terhadap undang-undang sedia ada.
"Pihak polis akan segera membuat siasatan sekiranya mendapat laporan daripada individu atau kalau tidak wujud elemen yang disebut tadi, umpan, habuan sogokan, dia boleh jadi fitnah kepada kerajaan", katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Bakar di Dewan Rakyat hari ini.