KUALA LUMPUR, 14 November - Usaha meningkatkan kemampuan dan pertumbuhan lanjutan dalam industri ternakan ayam itik ketika ini sedang berjalan lancar dan dalam proses pemulihan dari semasa ke semasa.
Ia menerusi lima strategi utama yang digariskan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 bagi tempoh 2021 hingga 2030, melibatkan penambahan bilangan ternakan ruminan termasuk melaksanakan inisiatif mempermudah kebolehcapaian pasaran sub industri ruminan kepada usahawan baru, mengurangkan dan mengawal kehilangan ternakan akibat penyakit serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan ternakan import.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi memperkukuh lima strategi tersebut, pihaknya telah menetapkan 16 pelan strategi dengan matlamat utama seperti memudah cara penaiktarafan sistem reban terbuka kepada sistem reban tertutup.
Pada masa sama, membangun serta memproduksi produk ayam itik di pasaran tempatan dan akses eksport dengan sasaran penarafan bintang (SSR) sebanyak 140% bagi daging ayam dan itik serta 123 peratus bagi pengeluaran telur.
"Ini sasarannya, yang kedua, meningkatkan pelaksanaan sistem integrasi ruminan kelapa sawit dan peningkatan insentif kewangan bagi menaikkan segala program pembiakan stok ruminan intensif dengan sasaran SSR 50% bagi daging lembu dan 100% bagi susu segar, mengurangkan import bagi bahan makanan ternakan melalui pelaksanaan R&D bagi mengenal pasti bahan makanan yang ekonomik serta menetapkan kualiti dan kuantiti PKC sebagai sumber alternatif bagi makanan ternakan," kata Mohamad Sabu menjawab pertanyaan wakil Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang ingin tahu bagaimana sasaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 boleh membantu pencapaian pembangunan sektor ternakan dalam sesi waktu pertanyaan menteri (MQT), di Dewan Rakyat.
Menjelaskan lebih lanjut beliau memaklumkan antara program lain yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk 'Program Agropreneur Muda', 'Skim Rezeki Ternakan Ruminan dan Unggas' bagi membantu penternak kecil menambah sumber pendapatan, program peningkatan ruminan untuk meningkatkan populasi asas ternakan ruminan pedaging serta program pembangunan industri tenusu yang sedang berkembang dan mendapat sambutan.