fb fb fb fb fb

Dagangan ASEAN+3 cecah AS$1.2 trilion pada 2024

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (lapan, kiri) bergambar bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn (kanan) pada sesi Working Lunch Perundingan AEM+3 ke-28 sempena Mesyuarat AEM ke-57 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 September - Kerjasama ekonomi ASEAN+3 terus mencatat pertumbuhan positif dengan jumlah dagangan mencecah AS$1.2 trilion pada 2024, merangkumi 31.7 peratus daripada keseluruhan dagangan ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka itu membuktikan kepentingan hubungan erat antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan.

Beliau memaklumkan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari negara ASEAN+3 berjumlah AS$44.4 bilion, iaitu hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ke ASEAN.

“Angka-angka ini menegaskan betapa pentingnya kerjasama erat yang telah kita bina,” katanya ketika berucap pada sesi makan tengah hari bersempena Perundingan Menteri Ekonomi ASEAN+3 (AEM+3) ke-28 di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-Koo pula menegaskan ASEAN+3 memainkan peranan penting dalam kestabilan rantaian bekalan global. Katanya, gabungan itu mewakili hampir 28 peratus populasi dunia, 27 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global serta hampir separuh nilai tambah pembuatan dunia.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Muto Yoji menekankan keperluan memperkukuh rantaian bekalan dan kerjasama teknologi di rantau ini bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik semasa.

Beliau berkata, isu utama yang perlu ditangani bersama termasuk pengukuhan rantaian bekalan dan perkembangan pesat teknologi antara ASEAN dan Jepun.

Timbalan Menteri Perdagangan China, Yan Dong pula menegaskan kerjasama Plus Tiga merupakan antara mekanisme paling matang dalam kerjasama ASEAN, yang telah banyak menyumbang kepada kemakmuran Asia Timur.

Menurutnya, dagangan China dengan ASEAN, Jepun dan Korea Selatan mencecah AS$1.1 trilion dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, meningkat enam peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN