fb fb fb fb fb

Bumbung tercabut: Lima keluarga PPR Seri Cempaka terima bantuan MAIWP

Kenderaan di PPR Sri Cempaka turut rosak dan musnah akibat bumbung tercabut, pokok tumbang dalam kejadian angin kencang pada Isnin lalu/Foto Facebook Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 24 September - Lima keluarga yang terjejas akibat ribut di ibu negara pada Isnin lalu menerima bantuan awal berjumlah RM10,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap keluarga menerima bantuan tunai sebanyak RM2,000 selain kit musibah mengandungi pakaian, sejadah dan keperluan asas lain.

“Kita menyerahkan sumbangan sambil memberikan kata-kata semangat atas ujian musibah yang menimpa mereka. Alhamdulillah pada petang ini kita sumbangkan RM2,000 kepada setiap keluarga yang terkesan,” katanya ketika menyampaikan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pusat Komuniti Lembah Pantai, di sini hari ini

Hasil semakan mendapati kebanyakan mangsa ribut itu adalah asnaf yang menerima bantuan zakat MAIWP.

Kejadian berkenaan melibatkan lima unit rumah di tingkat 17 Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka yang mengalami kerosakan serius termasuk siling dan bumbung tercabut.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi menyelaras bantuan susulan.

Selain MAIWP, beberapa agensi lain turut tampil menghulurkan bantuan segera antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .

GRACE AISYAH KEDAYAN