PUTRAJAYA, 24 September - Sebanyak 97.32 peratus atau 105,890 kenderaan perdagangan di seluruh negara masih gagal membuat pengesahan peranti had kelajuan (SLD) setakat 23 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 97,216 buah merupakan kenderaan perdagangan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg), manakala 8,674 lagi terdiri daripada bas ekspres dan bas persiaran.
Beliau berkata, pihaknya berasa kecewa dengan sikap pengusaha serta pemain industri yang dilihat seolah-olah tidak mengambil serius arahan yang telah dikeluarkan.
"Setakat ini, hanya 2,915 buah kenderaan perdagangan membabitkan bas ekpres dan persiaran telah membuat pengesahan SLD iaitu tak sampai tiga peratus.
“97 peratus mereka ini sama ada tidak endah arahan atau mereka rasa kementerian tidak serius, mereka nak mencabar tahap kesabaran kita dan ingat
kita tidak akan laksanakannya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Loke berkata, penguatkuasaan pemasangan dan penggunaan SLD akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober ini.
Penguatkuasaan itu melibatkan kenderaan motor yang dibina selepas 1 Januari 2015, iaitu bas persiaran dan bas ekspres dengan BDM melebihi 5,000 kg dan lebih lapan penumpang serta kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kg.
Tegasnya, tiada kompromi akan diberikan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas tarikh penguatkuasaan dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat) akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini," katanya.
Semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD perlu disahkan pihak yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.
Pengesahan itu juga perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik.