(Lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
ke Axiata Cyber Fusion Centre (ACFC), Petaling Jaya)
PETALING JAYA, 26 September- Kerajaan komited mempertingkat kerjasama awam dan swasta yang lebih besar untuk menambahbaik keupayaan keselamatan siber dalam negara.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, memaklumkan CyberSecurity Malaysia dan Axiata Group Berhad bakal menjalin kerjasama untuk memperkasa bidang keselamatan dan pembangunan kepakaran siber.
Kedua-dua pihak sedang dalam perbincangan akhir sebelum memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
''Saya lihat dengan adanya hubungan kerjasama yang erat antara dua pihak ini akan membuahkan hasil yang positif. Kerajaan komited mewujudkan satu pasukan penyedia perkhidmatan keselamatan siber untuk menghadapi satu keadaan keselamatan siber yang lebih mencabar.
"Saya harap MoU antara dua pihak ini dapat dilaksana segera", katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja pertama di Axiata Cyber Fusion Centre (ACFC) di Petaling Jaya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Pengerusi Axiata Group Berhad, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.
ACFC yang dilancarkan pada Ogos 2022, berperanan sebagai pelopor dalam landskap keselamatan siber yang mempunyai tiga objektif iaitu memacu inovasi, membina keupayaan keselamatan siber bertaraf dunia dan memajukan ekosistem yang berkembang maju untuk bakat keselamatan siber tempatan.