(Teo Nie Ching)
KUALA LUMPUR, 26 September- Pelbagai program dilaksanakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menyebar luas konsep Malaysia Madani termasuk lebih 2,000 muat naik bahan berkaitan di semua platform media sosial rasmi RTM, tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan agar rakyat dapat memahami dan menghayati konsep berkenaan.
Jelas beliau, Facebook, Instagram, Youtube, TikTok dan X milik RTM secara berterusan menyiarkan infografik dan pelbagai bahan bermaklumat berkaitan Malaysia Madani sekurang-kurangnya dua kali sehari dan diulang siar di semua platform media sosial milik RTM termasuk di negeri-negeri.
"Facebook rasmi RTM sehingga kini telah menyiarkan 1,080 posting berkaitan Malaysia Madani, 540 posting di Instagram dan 540 posting di platform X.
"Sepanjang Januari hingga September ini, Saluran TV1 pula telah menyiarkan sebanyak 2,245 bahan penyiaran berkaitan konsep Malaysia Madani yang disiarkan dalam bentuk pesanan khidmat masyarakat (PSA), video pendek, promo serta kapsul.
"Saluran TV2 menyiarkan sebanyak 2,067 laporan dalam pelbagai format penyiaran termasuk kapsul (atau) PSA, manakala promo Saluran TV Okey menyiarkan sebanyak 2,728 kapsul, PSA, video pendek dan promo.
"Komitmen untuk memberi pemahaman kepada rakyat Malaysia berkaitan konsep Malaysia Madani juga dilaksanakan dalam bentuk pelaporan berita," katanya pada perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Negara di sini.
Bagi tempoh sama, RTM telah menyiarkan sebanyak 772 laporan berkaitan Malaysia Madani dalam format berita televisyen, manakala 969 laporan dalam bentuk pelaporan berita radio.
"Bahagian Radio RTM menyiarkan 152 kapsul dengan purata kekerapan empat kali sehari atau purata siaran sebanyak 608 kali sehari di semua 34 stesen radio milik RTM termasuk stesen negeri dan daerah. (Begitu juga), menyiarkan 92 sesi temu bual dengan pelbagai pihak berkaitan bagi membincangkan konsep Malaysia Madani," katanya.
Selain RTM, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) turut menghasilkan lebih 480 artikel berkaitan konsep Malaysia Madani untuk memberi penjelasan mengenai Malaysia Madani bagi tempoh sama.
Dalam pada itu, KKD menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melaksanakan pelbagai program bersemuka iaitu program Kita Madani, Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) dan Info On Wheels (IOW).
"Sehingga 22 September 2023, sebanyak 32 program Kita Madani telah dilaksanakan di seluruh negara dengan penglibatan khalayak sebanyak 27,170 orang.
"Manakala, program JIWA telah dilaksanakan sebanyak 2,848 di seluruh negara yang melibatkan 227,583 orang ramai. Ianya meliputi 3,416 lokasi di 153 daerah, 222 kawasan Parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 4,929 program hebahan telah diadakan meliputi 19,406 lokasi dan dianggarkan hebahan tersebut melibatkan 1,151,872 khalayak pendengar.
Katanya, JaPen turut menganjurkan sebanyak 20 pameran Malaysia Madani di seluruh negara.
(FOTO HIASAN)