fb fb fb fb fb

CUEPACS sambut baik syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam

SEREMBAN, 10 Julai- Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Presiden II CUEPACS, Azman Shah Abd Rahman, pertimbangan itu wajar dibuat selepas mengambil kira skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah.

CUEPACS menghargai kesungguhan perdana menteri untuk mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam yang akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kita sangat menyokong dan mengalu-alukan cadangan itu supaya diadakan satu pasukan untuk mengkaji semula sistem itu.

"Kita juga berharap agar pihak kita juga dilibatkan bersama dengan pasukan berkenaan," katanya kepada RTM selepas wawancara Slot Kemilau Negeri di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini.

Azman Shah berkata, CUEPACS juga mencadangkan lapan penambahbaikan skim gaji untuk penjawat awam.

Antara yang dicadangkan dalam kajian skim baharu itu adalah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk penjawat awam perlu ditambah baik kepada RM180 setahun, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan daripada 13 tahun kepada 10 tahun dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam dengan perbincangan awal mengenainya pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Syor penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu jangka masa yang agak lama.

(Azman Shah Abd Rahman)

Media Baharu