KUALA LUMPUR, 8 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan sebanyak lapan penambahbaikan skim gaji untuk penjawat awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, skim gaji penjawat awam sedia ada ketika ini berada di tahap yang rendah dan perlu disemak dengan segera.
Antara yang dicadangkan dalam kajian skim baharu itu adalah Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk penjawat awam perlu ditambah baik kepada RM180 setahun, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan daripada 13 tahun kepada 10 tahun dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua.
"Gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29, sistem saraan hendaklah dikaji setiap 5 tahun, menaikkan elaun bantuan sara hidup (COLA), imbuhan tetap perumahan juga perlu ditambah kepada RM450 daripada RM300 serta memperkenalkan elaun bandaraya sebanyak RM500," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Datuk Adnan berkata, CUEPACS menghargai atas kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam yang akan dibangkitkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan.
Katanya, syor seumpama itu sebenarnya sudah lama dibangkitkan oleh CUEPACS menerusi rundingan dari semasa ke semasa bersama pimpinan terdahulu termasuk Anwar.
"Sebelum ini pun Perdana Menteri telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan perbincangan bersama CUEPACS mengenai isu gaji dan upah penjawat awam serta hal berkaitan peningkatan kos sara hidup.
"Permintaan penjawat awam untuk kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah perkhidmatan awam sememangnya berasas berikutan kos sara hidup yang meningkat dengan begitu drastik.
"Apatah lagi sistem saraan perkhidmatan sedia ada ketika ini masih berdasarkan Sistem Saraan Malaysia pada 2002 yang hanya ditambah baik apabila Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang diperkenal pada 2012," jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.
Anwar berkata, syor penelitian semula skim gaji penjawat awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu jangka masa yang agak lama.
Oleh itu, beliau berharap jemaah menteri memberi kelulusan segera atas cadangan untuk pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.
Di samping itu, beliau berharap tempoh masa tersebut tidak terlalu panjang agar ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah.
"CUEPACS juga bersedia untuk bersama-sama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan yang wajar daripada sudut pandang warga pekerja.
"Ia bagi memastikan syor yang dikemukakan nanti diterima oleh penjawat awam yang merupakan penerima manfaat," katanya.
BERITA BERKAITAN:
Kerajaan setuju skim gaji penjawat awam dinilai semula - PM Anwar
Kenaikan skim gaji penjawat awam jadi keutamaan bila pendapatan negara meningkat