fb fb fb fb fb

Cubaan seludup keluar 122,000 liter minyak diesel bersubsidi, Polis Johor cekup 19 suspek

KOTA TINGGI, 19 Julai- Polis Johor, mematahkan cubaan menyeludup keluar 122,000 liter minyak diesel bersubsidi, bernilai RM390,400, di sebuah jeti di Sungai Tiram, Kota Tinggi, satu pagi, kelmarin.

Operasi melibatkan penahanan 11 lelaki tempatan, dan lapan lelaki warga asing, berumur 26 hingga 58 tahun, dipercayai terlibat dengan sindiket.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket yang telah beroperasi sebulan, membeli minyak diesel bersubsidi dalam negara dan menjualnya dengan harga lebih tinggi, di pasaran gelap luar negara.

Semakan mendapati enam daripada suspek tempatan, mempunyai rekod lampau, bersabit dadah dan jenayah.

Manakala kesemua warga asing, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Turut dirampas, tiga buah treler, sebuah kapal vessel, satu alat Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) kapal, serta sepuluh peralatan memindahkan minyak diesel, bernilai RM10.38 juta.

Kes disiasat, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, serta Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63, selain akan disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kota Tinggi.

Dalam pada itu, Datuk Kamarul Zaman turut menyeru kerjasama orang ramai, untuk menyalurkan sebarang maklumat, berkenaan aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi, khusus di kawasan terpencil.

 


(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat)

Media Baharu