fb fb fb fb fb

Cubaan edar 916,600 batang rokok gagal

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah

KUANTAN, 7 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran 916,600 batang rokok bernilai RM727,694.80 menerusi dua serbuan berasingan.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah, serbuan terbabit dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM stesen Kuantan, Pahang di Kluang dan Paloh, Johor.

Menurutnya, serbuan pertama melibatkan premis di Kluang, Johor pada 18 April lalu pada pukul 12.00 tengah hari.

Dalam serbuan itu pihaknya berjaya menyita 663,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama dianggarkan bernilai RM528,127.20.

Manakala serbuan kedua pada 19 April pukul 5.00 pagi, pihaknya berjaya menyita 255,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama dianggarkan bernilai RM199,997.60 di sebuah premis di Paloh, Johor.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan.

"Untuk kedua-dua kes ini JKDM Pahang masih lagi dalam proses tindakan untuk mengesan pemilik premis tersebut. Modus operandi dalam kedua-dua kes ini adalah sama dimana rokok-rokok yang disimpan diseludup dari negara jiran atau dibawa masuk secara tidak sah disimpan di premis-premis yang tidak berpenghuni untuk mengelakkan daripada dikesan pasukan kastam," kata Ribuan dalam sidang media di Wisma Kastam Jalan Bank, di sini.

Katanya, bekalan rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut untuk diedar di sekitar Johor, Pantai Timur dan Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

JKDM menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol 1800-88-8855 atau di pejabat kastam berdekatan.

TETITIA YUSOFF