fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan hormat delegasi majlis perniagaan AS-Asean

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-Asean yang diketuai oleh Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantaunya Brian D. McFeeters hari ini.

Dalam pertemuan itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua pihak telah bertukar pandangan dalam perkara berkaitan dasar dan peraturan bagi beberapa sektor serta potensi penambahan pelaburan oleh syarikat AS.

“Saya turut singgung (menyentuh) peranan yang akan dimainkan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada tahun hadapan,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata kunjungan hormat itu turut disertai oleh delegasi yang terdiri daripada wakil 20 syarikat multinasional AS.

Hadir sama ialah Duta Besar AS di Malaysia Edgard Kagan dan Duta Besar AS bagi Asean Yohannes A. Abraham.

“Semoga hubungan baik dan kerjasama erat dengan syarikat-syarikat multinasional seperti daripada AS ini bertindak sebagai penyumbang kepada usaha kerajaan untuk mencapai matlamat Ekonomi MADANI,” katanya.

Menurut Anwar, Majlis Perniagaan AS-Asean adalah sebuah organisasi perdagangan yang berfungsi sebagai kumpulan advokasi utama bagi perniagaan AS yang beroperasi dalam rantau Asean.

Peranan utamanya adalah untuk memupuk kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara AS dan negara anggota Asean termasuk Malaysia, dan memudahkan dialog antara kerajaan dan perniagaan untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan menggalakkan persefahaman bersama.

TETITIA YUSOFF