fb fb fb fb fb

Peranan Maritim Malaysia diterima baik dan diiktiraf dunia

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim (kiri) menerima kunjungan hormat dari pemain industri pertahanan luar negara

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Peranan serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dibuktikan menerusi permohonan pertemuan bilateral daripada deligasi tentera dan agensi penguat kuasa luar negara.

"Maritim Malaysia telah menerima permohonan pertemuan bilateral daripada deligasi tentera dan agensi penguat kuasa luar negara seperti Turkiye, India, Singapura, Indonesia, Thailand, Bangladesh dan Filipina serta wakil kedutaan Ukraine di Malaysia, Mykhailiuk Denys.

"Ia sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC) bermula semalam.

"Maritim Malaysia telah berkongsi peranan penting yang dimainkan oleh Agensi ini dalam menjaga kedaulatan perairan negara serta amalan terbaik dalam penguatkuasaan selain memperkasakan kerjasama serantau khususnya di sempadan maritim negara," katanya.

Dalam pada itu, agensi berkenaan juga menegaskan komitmen untuk memastikan kawalan sempadan yang cekap dan efektif selain bergerak seiring dengan perkembangan global dan menangani cabaran semasa dalam domain maritim.

Maritim Malaysia turut menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Komander Pusat Pemerintahan Bekalan dan IT, Kementerian Pertahanan Belanda, Major General Ludy Schmidt.

Agensi berkenaan juga diiktiraf atas usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan maritim dan kepentingan menjaga perairan negara serta laluan perdagangan antarabangsa seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI