fb fb fb fb fb

Cubaan 8 lelaki menjadi 'transporter', gagal

(Ops Gelombang di sekitar Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas)

KOTA BHARU, 27 Oktober- Cubaan lapan lelaki yang menjadi ‘transporter’ dengan menerima upah RM150 hingga RM250 untuk menyeludup 49 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal apabila ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Gelombang petang semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan itu dilakukan di sekitar Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dibantu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kesemua suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 37 tahun itu bertindak sebagai transporter dan agen bagi kemasukan 32 lelaki, 16 perempuan dan seorang kanak-kanak PATI warganegara Myanmar.

Kesemua migran berusia antara 8 hingga 51 tahun itu, dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus dan dipindahkan dengan 10 buah kenderaan ke terminal berkenaan.

Khairul Dzaimee turut berkata, “mereka diseludup masuk ke Malaysia melalui Kelantan dengan tujuan untuk bekerja secara tidak sah di sektor-sektor tertentu khususnya di Kuala Lumpur, Johor dan Ipoh.

"Selain itu berdasarkan operasi-operasi sebelum ini, wanita yang diseludup masuk ini juga didapati melibatkan diri dalam aktviti tidak bermoral dan kegiatan pensundalan di hotel-hotel bajet di sekitar bandar-bandar besar.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kita Demi Negara di Dataran Lembah Sireh, Kota Bharu, hari ini.

(Khairul Dzaimee pada Program Kita Demi Negara di Dataran Lembah Sireh, Kota Bharu)

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, sindiket yang dipercayai aktif sejak Mei lalu itu mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini.

Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket terbabit dan kerajaan mengalami kerugian dengan anggaran RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Lapan orang lelaki tempatan terbabit, akan disiasat bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala, kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki negara tanpa sebarang dokumen.

Media Baharu