fb fb fb fb fb

Warga Felda istimewa, akan terus dijaga - Ismail Sabri

BERA, 27 Oktober - warga Felda sentiasa istimewa dan akan terus ‘dijaga’ kerajaan, termasuk generasi kedua tanah rancangan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada warga Felda sejak awal penubuhan tanah rancangan itu lagi, mencerminkan betapa istimewanya warga Felda kepada kerajaan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Felda istimewa sekali...apabila saya menjadi wakil rakyat di sini, jadi Ahli Parlimen, yang susah saya nak menjaga pengundi saya di Bera ini ialah kenapa warga Felda diberikan keistimewaan berbanding orang lain sehinggakan masyarakat luar menganggap warga Felda adalah anak emas kerajaan, itulah persepsi orang luar terhadap warga peneroka, berbagai-bagai insentif dapat," katanya ketika berucap di Program Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, di sini.

Pada majlis tersebut, Datuk Seri Ismail turut mengumumkan, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara sebanyak RM800 sebulan selama empat bulan.

Katanya, kerajaan memahami cabaran dan kepayahan yang dihadapi pekebun kecil getah pada musim tengkujuh.

Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera berkata layanan kerajaan tidak terhenti setakat peneroka sahaja, malah pelbagai insentif baharu turut diumumkan baru-baru ini bagi generasi kedua Felda.

Ini termasuk meneruskan kembali 1,400 unit rumah di bawah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai menerusi pembiayaan swasta dengan kos RM204 juta.

Katanya, pelaksanaannya bakal dimulakan pada Disember ini dan dijangka siap untuk diduduki pada Disember 2024.

"Kalau dulu kita menjual rumah, tetapi kita tukar dengan menjual tanah lot untuk pembinaan rumah... sebanyak 8,670 unit lot generasi felda dikenal pasti termasuk di Bera.

"Setakat hari ini, 770 unit dilaksanakan secara undian, jadi sudah ada 770 generasi kedua telah pun dikenal pasti...mungkin sudah membuat undian untuk lot tersebut...untuk di Bera saya harap disegerakan," katanya.

Tambah Ismail, warga Felda turut diberi peruntukkan berjumlah RM20 juta menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada pinjaman-pinjaman perumahan dalam kalangan generasi baharu.

Media Baharu