fb fb fb fb fb

Cuai terhadap kanak-kanak, suami isteri dilepas tanpa dibebaskan

JOHOR BAHRU, 7 Jun- Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini melepaskan tanpa membebaskan sepasang suami isteri atas pertuduhan kecuaian terhadap kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun pada 28 April lalu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail dalam penghakimannya berkata, "keputusan dibuat selepas terdapat elemen penduaan menyebabkan pertuduhan pindaan tidak boleh dipertahankan."

Justeru, bapa tiri, S. Nagendran dan ibu kandung kanak-kanak itu, A.Sangeetha dilepaskan daripada pertuduhan pindaan itu.

Pada 3 Mei lalu, pasangan berusia 23 tahun itu mengaku bersalah bagi pertuduhan mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang berada di bawah pemeliharaan mereka itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mahkamah hari ini menetapkan hukuman, namun kedua-dua tertuduh menukar pengakuan kepada mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan.

Bagaimanapun, difahamkan mereka dijangka dituduh semula.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001, memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar dan Noor Idayu Salim manakala pasangan itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.

(Mahkamah Sesyen Johor Bahru)

Media Baharu