fb fb fb fb fb

Henti sementara aktiviti perkhemahan, rekreasi di Kota Tinggi - Polis

KOTA TINGGI, 25 Januari- Pengusaha tapak perkhemahan dan rekreasi di sekitar Kota Tinggi dinasihat menghentikan sementara operasi berikutan cuaca semasa yang tidak menentu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora berkata tindakan itu penting bagi melindungi keselamatan semua pihak.

"Untuk itu saya menyeru kepada semua pengusaha rekreasi supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam musim yang tidak menentu ini agar dapat memberikan kerjasama kepada orang ramai dan juga pihak polis supaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan," katanya.


(Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora)

Hussin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Beliau mengulas insiden 35 individu termasuk 12 kanak-kanak yang terperangkap di tapak perkhemahan Tanjung Lompat selepas laluan keluar masuk ke kawasan itu banjir, semalam.

Jelasnya, kesemua individu itu bagaimanapun berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Hussin berkata keadaan banjir di Kota Tinggi masih dalam keadaan terkawal dengan enam PPS telah dibuka dan tiada jalan utama di daerah itu terputus hubungan atau ditutup setakat ini. 

Media Baharu