fb fb fb fb fb

Persahabatan peribadi Anwar, Sultan Brunei bantu percepat perancangan kedua-dua negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Januari- Hubungan persahabatan peribadi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan membantu mempercepatkan kemajuan dalam pelbagai program pembangunan bersama.

Jelas Perdana Menteri, walaupun hubungan Malaysia dan Brunei sangat baik sejak dahulu, namun persahabatan peribadi yang erat itu menjadikan hubungan kedua buah negara kini berada di tahap tinggi.

“Bila kepimpinan negara dengan persahabatan yang erat...(jika ada perancangan) saya akan tanya progres, akan pantas (pelaksanaannya).

“Tuanku banyak tengok dan mengikuti perkembangan (di Malaysia). Hubungan persahabatan itu penting, hubungan kita baik...aspek peribadi. Sepanjang saya dalam kesusahan, Tuanku sering lahirkan keprihatinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di akhir lawatan rasmi beliau ke Brunei.

L
(Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di akhir lawatan rasmi beliau ke Brunei)

Terdahulu Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei, di Istana Nurul Iman.

Anwar turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei kemudian menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

“Ini untuk rakyat...perniagaan, pelaburan itu penting. Baginda tekankan (kerjasama dengan) BIA disegerakan untuk lihat peluang dan kesempatan, kesesuaian pelaburan. Ketiga, baginda tekankan kemungkinan segerakan isu berkaitan cari gali minyak membabitkan Petronas jika perlu, untuk kawasan-kawasan dibuat secara Joint Development Authority (JDA),” katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, dalam soal ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, diharapkan adanya sinergi kepentingan Malaysia terutama di sempadan Sabah dan Sarawak.

“ ….melibatkan peruntukan tambahan, lalu lintas pelancongan, pergerakan tiga negara (Malaysia, Indonesia dan Brunei), insentif kerajaan Sarawak untuk teruskan jalan darat. Tuanku teruja, yakin dapat tingkatkan hubungan kerjasama,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan Sabah dan Sarawak membangkitkan peranan Bandar Seri Begawan sebagai pusat penerbangan antarabangsa dan berharap untuk menambah penerbangan ke Bandar Seri Begawan sebagai hab untuk subrantau.

Katanya sewaktu pertemuan empat mata itu, ada dibincangkan bahawa isu seperti pembangunan persempadanan harus dipesatkan selain pelaburan ditingkatkan.

Lawatan ke Brunei ini adalah lawatan rasmi kedua Anwar ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.


Media Baharu