PASIR PUTEH, 13 Mei- Cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak memberi kesan kepada kegiatan para petani, penternak dan nelayan secara keseluruhan.
Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenai perkara itu kerana fenomena tersebut dijangka hanya akan berakhir Ogos depan.
Jelas beliau, pihaknya akan terus membuat pemantauan terhadap situasi berkenaan supaya langkah penyelesaian sewajarnya dapat diambil bagi memastikan sumber rantaian bekalan makanan negara tidak terganggu.
"Setakat ini maklumat yang kita perolehi belum terjejas lagi, El Nino dijangka sampai Ogos. Jadi mungkin kita semua akan pantau, termasuk kaji cuaca dan sebagainya.
"Nasihat juga akan diberikan dari semasa ke semasa," katanya selepas Majlis Jalinan Mesra Madani bersama nelayan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali, Pasir Puteh.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Datuk Seri Mohamad turut meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan tiga lokasi unjam di Kelantan.
Inisiatif tersebut dijangka akan memberi manafaat kepada hampir 4,000 nelayan di sekitar kawasan Tumpat, Bachok dan Kota Bharu.
(Mohamad Sabu)