KUALA NERUS, 13 Mei- Kerajaan akan mengambil langkah segera sebagai persediaan kemungkinan berlaku gangguan akses komunikasi dan rangkaian internet di kawasan yang sering dilanda banjir.
Masalah utama tersebut adalah melibatkan penduduk terjejas banjir yang mengalami kesukaran untuk berkomunikasi terutama menghubungi pihak keselamatan melibatkan urusan perpindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu.
"Saya nak minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk gunakan teknologi yang sedikit berbeza. Tidak semestinya hanya berharap kepada janakuasa untuk membekalkan tenaga.
"Jadi apabila berlaku banjir, telekomunikasi kawasan yang mengalami banjir itu tidak akan terjejas. Saya akan minta pihak SKMM untuk beri maklum balas dan akan usaha perkara ini diselesaikan," katanya selepas Majlis Bersama Wakil Masyarakat di sini.
(Fahmi Fadzil)