SEREMBAN, 13 Mei- Barisan Nasional (BN) akan menampilkan calon yang berwibawa serta mesti membawa kemenangan kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam buah negeri tahun ini.
Menurut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, proses penyaringan calon perlu dilakukan dengan sebaik mungkin bermula di peringkat negeri.
"Kali ini tugas lebih berat lagi kerana kita mesti memilih calon yang mesti menang bukan boleh menang. Maknanya, calon sekarang ini membawa nama parti kerana persepsi terhadap parti.
Jadi, kita mesti letak calon yang mesti menang bukan sebarang calon, maka penyaringan calon di peringkat negeri di bahagian masing masing itu perlu dilakukan dengan sebaik yang mungkin," kata Mohamad kepada pemberita pada Majlis Mesyuarat Agung PIBG, di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar Ke-26, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang masih belum ditentukan, sebaliknya perlu memantapkan jentera parti bagi menghadapi PRN tersebut.
(Foto Hiasan)