fb fb fb fb fb

Cuaca panas: APM Kedah ingatkan penduduk sentiasa berjaga-jaga

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 24 Mac- Penduduk di Kedah diminta sentiasa berjaga-jaga dalam keadaan cuaca panas ketika ini bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.

Nasihat tersebut dikeluarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri itu dalam perkongsian ringkas di Facebook rasminya hari ini.
 
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan suhu di enam daerah di negeri itu berada pada Tahap 2 iaitu gelombang haba.  
 
Daerah berkenaan adalah Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling dan Kota Setar; serta di Perlis dan Hulu Perak, Perak.
 
Kesemua kawasan berkenaan mencatatkan suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.   
 
Sementara itu, empat kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Langkawi, Kuala Muda dan Pendang; serta Kuala Kangsar dan Kinta di Perak.
 
Tahap Berjaga-Jaga merekodkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

SITI AISHAH MD ISA