KUALA LUMPUR, 6 Februari- Kerajaan menyediakan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Koporat (CRESS) sebagai akses pihak ketiga yang boleh dimanfaatkan syarikat korporat yang ingin mendapat bekalan elektrik hijau secara langsung daripada penjana tenaga boleh baharu (TBB).
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu menyediakan mekanisme dan kerangka perolehan tenaga hijau jelas seperti ditetapkan untuk syarikat korporat dan memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial serta Tadbir Urus (ESG).
"Pelaksanaan CRESS yang membuka akses grid bekalan elektrik kepada penjana TBB dan pengguna elektrik hijau telah menyediakan pilihan baharu kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau yang diperlukan berdasarkan pilihan mereka sendiri.
"Ketersediaan akses untuk tenaga elektrik hijau dijangka akan menarik pelaburan hijau yang menitikberatkan komitmen kelestarian alam dan bernilai tinggi," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Wangsa Maju Ir. Ts. Zahir Hassan berkenaan keberkesanan pelaksanaan CRESS sebagai akses pihak ketiga bagi perolehan tenaga khususnya manfaat dari segi ekonomi.
Sehingga kini dua penjana TBB iaitu Tenaga Nasional Berhad dan UEM Lestra berjaya menjalinkan ikatan perolehan tenaga elektrik hijau dengan pengguna elektrik hijau untuk kapasiti perbekalan TBB yang dianggarkan berjumlah 400MW bawah program itu, dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion.