fb fb fb fb fb

CPI tidak cerminkan realiti, perlu kajian berasaskan bukti – Azam  

(Bekas pegawai kanan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini
atas lima pertuduhan menyalahguna jawatan untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan bayaran
elaun memangku untuk diri mereka tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 21 Julai, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diamalkan di peringkat antarabangsa bagi mengukur tahap amalan rasuah sesebuah negara, tidak selalu mencerminkan fakta dan realiti.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, CPI yang digunakan tidak mengukur tahap rasuah sebenar tetapi berasaskan persepsi sahaja.

Justeru atas sebab itu, Malaysia perlu beralih daripada tinjauan berasaskan persepsi kepada kajian berasaskan bukti yang sudah diakui oleh United Nation on Drugs and Crime (UNODC) yang mempunyai tinjauan sendiri.

Jelasnya SPRM memandang serius perkara itu dan sedang giat meneliti bagi melaksanakan tinjauan berasaskan bukti yang bukan sahaja boleh memperoleh data persepsi, tetapi dapat mengumpul pengalaman dan insiden rasuah dalam masyarakat.

“SPRM berharap dapat berkolaborasi dengan UNODC mengenai perkara ini bukan sahaja dengan memberi tumpuan kepada penjawat awam, tetapi tinjauan itu juga akan merangkumi sektor swasta dan masyarakat umum,” katanya dalam Program Executive Talk Media Elektronik dan Portal Bersama SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata objektif tinjauan tersebut bukanlah hanya untuk mempamerkan kedudukan negara berbanding dengan negara lain. Sebaliknya tinjauan rasuah yang holistik dan komprehensif dapat membantu dalam merumus dan membangunkan langkah-langklah yang lebih tepat dan mantap untuk memerangi rasuah.

“Ini merupakan hala tuju yang ingin kami utamakan,” tegas Azam.


(Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki/Fail BERNAMA)

Azam berkata, kebelakangan ini SPRM telah menyiasat dan menangkap sebilangan ahli politik berprofil tinggi daripada pihak pembangkang dan kerajaan, menumpaskan kartel serta melumpuhkan sindiket dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta yang sebahagiannya sedang dalam perbicaraan di mahkamah.

“Sebagai contoh kes MARA yang mana ia telah digembar-gemburkan dalam media sosial bahawa pegawai MARA tidak akan didakwa. Ini telah membentuk persepsi seolah-olah pihak SPRM dan Pejabat Peguam Negara cuba melindungi isu tersebut. (BacaDua bekas pegawai kanan MARA Corp didakwa salah guna jawatan)

“Hakikatnya dua pegawai MARA telah dituduh hari ini mengikut bukti yang ada, namun persepsi negatif telah dibentuk ekoran spekulasi berkenaan,” kata Azam

Mengulas mengenai CPI, indeks rasuah itu sentiasa digunakan sebagai petunjuk  betapa teruknya situasi rasuah di Malaysia,

“Malah rasuah di negara ini dilihat jauh lebih teruk berbanding negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia atau Vietnam. Baru-baru ini ditularkan berita palsu berkaitan satu tinjauan yang menunjukkan kadar rasuah kita terburuk di dunia,” katanya.

Azam turut menyatakan jika dilihat CPI 2021, sebenarnya selepas Singapura, Malaysia merupakan negara ke-2 dalam kedududkan CPI dengan markah ke-2 tertinggi di Asia Tenggara, iaitu dengan markah 48 dan menduduki tempat ke-62 dan Thailand di tempat ke-110.

“Kita tidak berbangga dengan kedudukan kita sama sekali, bahkan kita perlu dan boleh melakukan yang lebih baik. Saya cuma memberikan contoh bagaimana persepsi tidak selalu mencerminkan fakta dan realiti.  

 

Media Baharu