fb fb fb fb fb

CPF Pahang pantau jualan ubat tidak berdaftar

KUANTAN, 21 Jun- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF Pahang) proaktif menjalankan pemantauan dan serbuan terhadap penjual-penjual ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di negeri itu.

Dalam tempoh 2018 hingga 2022, sebanyak 114,430 ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi berjaya dirampas.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, serbuan yang dilakukan itu melibatkan 382 premis dengan nilai rampasan RM3 juta membabitkan 311 kes termasuk kesalahan bawah Akta Racun.

Antara barangan lain yang turut dirampas ialah peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

Daripada jumlah itu, daerah Jerantut merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM1 juta.

Manakala setakat Jun tahun ini, sebanyak 42 premis telah diperiksa melibatkan rampasan 13,340 unit ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi betnilai RM230,000.

"Kenapa kita tidak galakkan pengguna kita memilih ubat-ubat yang tidak berdaftar seperti yang kalau kita tengok ubat seperti ini yang banyak sangat berada di pasaran terbuka sama ada di kedai kopi sebagainya.

"Kerana kita khuatir bahan yang ada dalam ini kebiasaan kita temukan adalah bahan steroid yang boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi lain seperti kegagalan buah pinggang dan begitu juga dengan penggunaan ubat-ubat ataupun kosmetik yang tidak bernotifikasi.

"Yang kita rasa sepatutnya kita elak sebagai pengguna adalah penggunaan hydroquinone yang selalunya terdapat dalam kosmetik-kosmetik yang tidak bernotifikasi. Penggunaan ubat-ubat ataupun penggunaan bahan 'hydroquinone' itu sebenarnya tidak bagus untuk pengguna dan boleh berisiko untuk mendapat kanser," kata Nor Azimi dalam sidang media Pelancaran Sahabat Ubat Pahang (SOBAT) di sini.

(Datuk Dr. Nor Azimi berkata CPF Pahang pantau jualan ubat tidak berdaftar)

Sementara itu katanya, bagi membantu pengguna mengenal pasti produk ubatan dan kosmetik berdaftar, CPF Pahang telah melaksanakan inovasi berasaskan laman sesawang yang digelar SOBAT Pahang.

SOBAT Pahang merupakan pusat sehenti satu untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan kepada CPF Pahang dan mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi.

Orang awam hanya perlu mengimbas kod QR untuk mengakses pautan SOBAT Pahang. 

Kos QR tersebut telah diedarkan di premis-premis farmasi komuniti dan klinik perubatan swasta,  dan akan diperluas ke seluruh negeri Pahang.

Media Baharu