KUCHING, 23 Disember - Peningkatan kes COVID-19 sedikit sebanyak menjejaskan persiapan Sambutan Hari Krismas buat penduduk di ibu negeri terbesar Sarawak.
Bagaimanapun, kemeriahannya tetap dirasai buat mereka yang meraikannya dan tetap bersemangat membuat persiapan dengan lebih berhati-hati bagi mengelak jangkitan.
Tinjauan RTM di sekitar bandaraya Kuching mendapati kedai-kedai yang menjual perhiasan untuk Sambutan Krismas meriah dengan kehadiran penganut beragama Kristian yang akan meraikan perayaan itu pada 25 Disember ini.
Pengunjung turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup separuh muka bagi mengelak jangkitan COVID-19 semasa membeli kelengkapan perayaan.
"Krismas merupakan perayaan yang ditunggu-tunggu oleh kami semua sejak sekian lama selepas COVID-19. Tahun ini dapat meraikan Krismas bersama keluarga yang datang dari jauh," kata Pengetua SMK Saint Teresa, Disin Nyaom.
"Sekarang semua orang sibuk untuk membeli barang persiapan untuk Krismas, kita tetap jaga diri memakai pelitup muka kalau nak berkunjung ke rumah, ke gereja pun tetap memakai pelitup muka untuk mengelak jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat ini," kata Pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak, Marko Nyogin.
"Dengan peningkatan kes COVID-19, saya rasa lebih baik masing-masing pandai jaga diri, elak untuk ke tempat orang ramai, sekiranya keadaan memaksa jangan lupa untuk memakai pelitup muka," kata seorang penyanyi tempatan, Micheal Gayut Mg.
"Kes COVID-19 sekarang menunjukkan trend peningkatan, jadi kalau nak berziarah, atau pergi gereja mahupun berjumpa kawan-kawan dan keluarga, lebih baik memakai pelitup muka, jaga kesihatan diri sebab kita tak nak seperti dahulu. Mujur kita semua dah menerima suntikan vaksin, jadi saya tak perlu rasa bimbang," kata suri rumah, Angelia Ann Sidor.
Bandaraya Kuching turut meriah dengan perhiasan Hari Krismas seperti pokok Krismas gergasi di beberapa lokasi strategik yang menjadi tumpuan ramai antaranya Padang Merdeka.