fb fb fb fb fb

PKNS peruntuk RM6.7 bilion bantu usahawan Sarawak

FOTO BERNAMA

PUSA, 23 Disember - Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan 6.7 Bilion Ringgit di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Sarawak (PKNS) untuk membantu para usahawan dan bakal usahawan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata bantuan dalam bentuk kewangan itu diberikan kepada usahawan tempatan tanpa dikenakan sebarang faedah.

Inisiatif tersebut seiring dengan hasrat Kerajaan Sarawak melahirkan usahawan tempatan yang berjaya dan membantu dalam memacu ekonomi di negeri ini.

"Saya menyeru agar usahawan sentiasa menggunakan peluang dan kemudahan disediakan oleh kerajaan dan institusi swasta untuk meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan sehingga ke pasaran global," katanya pada Program Jum Regista Bisnes Pusa 2023 di Dataran Temenggung Kadir Beladin, Pusa baru-baru ini.

Tambahnya, program tersebut merupakan inisiatif dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak untuk mendaftarkan perniagaan usahawan yang tidak memiliki lesen perniagaan.

"Dengan mendaftarkan perniagaan, para usahawan ini berpeluang menikmati bantuan dari pihak kerajaan mahupun institusi kewangan dan meneroka prospek perniagaan lain," katanya

Dalam majlis sama, Razaili turut mengumumkan projek pembinaan Waterfront Dataran Temenggung Kadir, Beladin bernilai RM26 juta, pusat jualan bernilai RM1.3 juta dan Medan Niaga bernilai RM5 juta.

Beliau turut menyampaikan cek peruntukan dana pembiayaan skim kredit mikro Sarawak setakat November 2023 untuk Program Usahawan Teknikal dan Vokasional, Program Graduan Ke Arah keusahawanan dan Go-digital .

GRACE AISYAH KEDAYAN