PUTRAJAYA, 12 Jun- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan masyarakat tidak perlu bimbang dengan penularan subvarian COVID-19, JN.1, yang kini dikesan dalam komuniti.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, subvarian JN.1 tidak dianggap berbahaya jika dibandingkan dengan varian awal yang muncul semasa fasa awal pandemik.
“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam komuniti kebelakangan ini, purata kes mingguan kekal di bawah paras amaran kebangsaan. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan,” jelas kenyataan itu.
Tambah KKM, situasi semasa sejajar dengan peralihan fasa negara ke arah hidup bersama COVID-19, dan jangkitan mampu dikawal dengan tahap imunisasi yang baik dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, KKM menggalakkan golongan berisiko tinggi agar mendapatkan dos tambahan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius dan kematian.
"Antara kumpulan yang disarankan menerima suntikan tambahan termasuk individu berumur 18 tahun ke atas yang belum divaksin, mereka yang berumur 12 tahun ke atas dengan komorbiditi atau sistem imun terjejas (immunocompromised), ibu mengandung serta petugas kesihatan.
"Pemberian vaksin Covid-19 adalah secara sukarela dan percuma, dan boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara," jelas kenyataan tersebut.
KKM turut memaklumkan, orang ramai yang layak boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.