fb fb fb fb fb

KESUMA lancar inisiatif latih 10,000 pekerja kemahiran pertolongan cemas

FOTO FB Kementerian Sumber Manusia

GENEVA, 12 Jun- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh komitmen dalam melindungi kebajikan dan keselamatan pekerja dengan melancarkan inisiatif untuk melatih 10,000 tenaga kerja dengan kemahiran asas pertolongan kecemasan.

KESUMA, menerusi satu kenyataan memaklumkan usaha itu dimeterai melalui kerjasama strategik antara KESUMA, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Ia sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pekerja dalam menghadapi kecemasan di tempat kerja dan dalam komuniti.

Pengumuman itu dibuat Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, semasa lawatan rasmi ke ibu pejabat IFRC di Geneva.

“Latihan tersebut akan dilaksanakan melalui HRD Corp dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan tumpuan kepada sektor berisiko tinggi seperti pembuatan dan industri utama.

"Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja bukan sekadar latihan teknikal, tetapi satu usaha memperkasa pekerja dan memupuk budaya keselamatan nasional," kata Steven Sim.

Menurut kenyataan KESUMA lagi, antara objektif utama inisiatif berkenaan termasuk mengurangkan kadar kematian dan kecacatan akibat kemalangan menerusi tindak balas awal yang berkesan.

Inisiatif itu juga bertujuan memupuk budaya keselamatan dalam kalangan majikan dan pekerja, serta menyokong pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Menerusi kenyataan sama, Steven Sim yang juga Penaung PBSMM Pulau Pinang memberitahu kerjasama itu bukan sekadar latihan.

Ia merupakan usaha memperkasa rakyat Malaysia untuk menyelamatkan nyawa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE