KUALA LUMPUR, 12 Jun - Gesaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu sedang diperinci Kementerian Pengangkutan (MOT).
Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata masih terdapat banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan.
Jelasnya, MOT sedia berbincang dengan MOTAC bagi menjamin keselamatan penumpang terutama pelancong khasnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Banyak perkara lagi yang harus dilihat melibatkan pengawalseliaan bas. Pelbagai isu dan perkara perlu dihalusi. Pihak kementerian sedia untuk mengadakan perbincangan bersama MOTAC," katanya.
Beliau ditemui media selepas Program Jelajah Ria 2.0 sempena Hari Keretapi Sedunia 2025 di ibu negara.
Kuasa kawal selia pengangkutan pelancongan sebelum ini terletak di bawah MOTAC menerusi Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).
Bagaimanapun, kuasa tersebut telah dipindahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya menegaskan tidak akan menyembunyikan isu pemandu bas yang mempunyai rekod saman.
"Tiada kompromi terhadap isu terbabit seperti yang dinyatakan Menteri Pengangkutan sebelum ini.
Isu pemandu degil yang mempunyai saman akan diberi perhatian serius oleh kementerian," katanya.