PUTRAJAYA, 16 Ogos – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah berlangsung pada Jumaat, susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung langkah memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi di bawah kelolaannya.
Dalam kenyataan di laman media sosial rasmi, KPM memaklumkan jawatankuasa itu ditubuhkan khusus bagi menangani isu-isu keselamatan yang timbul serta merangka penyelesaian komprehensif demi menjamin kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.
“Dalam mesyuarat pertama itu, jawatankuasa telah menetapkan hala tuju serta pelan tindakan menyeluruh yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” jelas kenyataan tersebut.
Keanggotaan jawatankuasa merangkumi pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis serta wakil Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
Foto FB KPM
Antara individu yang dilantik ialah Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki; wakil UNICEF, Azlina Kamal; Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin; Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim; serta Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.
Turut serta ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik) KPJ Healthcare University, Prof Dr Dayang Anita Abdul Aziz; Presiden Majlis Belia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Pengerusi ARUS Academy, Alina Amir; wakil PIBKS, Mohd Shaffik Mohd Kamil; Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Mohd Khalid Mohamed Latiff; serta pengamal perubatan dan pempengaruh kesihatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan.
Selain itu, wakil Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menganggotai jawatankuasa tersebut.