KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Islam, supaya bersama-sama menghentikan segala bentuk perbuatan buli.
Beliau menegaskan bahawa buli adalah perbuatan keji yang bukan sahaja mendatangkan kesan fizikal, malah meninggalkan luka emosi yang mendalam.
“Islam mengajar kita supaya hidup saling hormat-menghormati, berkasih sayang serta menjaga hak dan maruah setiap insan. Sedarlah bahawa buli bukan sekadar menyakitkan tubuh, tetapi turut mematahkan hati dan memadamkan harapan.
“Ingat doa orang yang dizalimi tiada hijab disisi Allah. Maka jauhilah kezaliman walau sebesar zarah. Buli mesti dihentikan dan kasih sayang perlu disuburkan,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Mohd Na’im berkata perbuatan buli juga tidak mencerminkan nilai-nilai murni dalam Islam serta mengajak rakyat untuk bersama-sama membina masyarakat yang harmoni dan saling menjaga silaturahim.
-- BERNAMA