fb fb fb fb fb

Utamakan kualiti dalam perolehan aset tentera - YDP Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa menyampaikan Titah Diraja bersempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing

MERSING, 16 Ogos - Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan sahaja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.

"Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong mengimbas kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot 'Rigid Riding Craft' (RRC) untuk komando yang berharga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh bawah harga RM2 juta.

"Baru-baru ini pula, beta dapat tahu ada cadangan untuk beli lagi bot sama tetapi saiz yang besar sedikit dengan harga hampir RM10 juta. Ini tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.

"Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut memberi teguran mengenai kolam selam tempur di Kem Iskandar yang sepatutnya siap pada 2022, namun sehingga kini masih belum boleh digunakan.

MASNIZA AWANG KECHIK