AYER KEROH, 12 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau belum membuat keputusan muktamad berhubung peletakan jawatan dua menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, beliau memberi ruang sehingga tamat tempoh cuti kepada Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu untuk menilai dan mempertimbangkan keputusan mereka.
“Biar saya fikir, biar mereka fikir. Kalau boleh, saya mahu kita bersama semula. Tapi kalau tidak, biarlah diberi ruang untuk berfikir dalam keadaan tenang. Tempoh cuti pun saya dah beri. Ya, masih dalam cuti. Surat peletakan jawatan memang saya terima, tapi keputusan rasmi belum saya buat,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Tambahnya, sebarang pelantikan pemangku jawatan akan hanya dibincangkan selepas tamat tempoh bercuti kedua-dua menteri berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan, kerajaan menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Antarabangsa Nikkei di Jepun, baru-baru ini.
Kos berjumlah RM486,000 itu diluluskan susulan permohonan yang dikemukakan sendiri oleh Dr Mahathir.
“Belanjanya sekitar RM480,000 sebulan. Jadi, orang tanya kenapa bayar? Dia ada hak untuk memohon, tapi kelulusan tertakluk kepada Perdana Menteri. Saya tetap luluskan RM486,000. Jadi saya tidak mahu timbul salah faham. Ini memang dibenarkan mengikut peraturan, asalkan ada kelulusan Perdana Menteri. Saya tak mahu ambil sikap negatif dalam hal ini,” jelas beliau.
Difahamkan, pada hujung Mei lalu, Dr Mahathir menghadiri Forum Antarabangsa Nikkei edisi ke-30 di Jepun dan turut menyampaikan ucaptama dalam acara berprestij tersebut.