fb fb fb fb fb

Cadangan alih laluan kenderaan berat ke KSAB diteliti – EAIC

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar

JOHOR BAHRU, 12 Jun- Pengalihan laluan kenderaan berat dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ke Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah antara cadangan yang bakal dikaji sebagai langkah menambah baik kelancaran perjalanan pengembara di BSI, Johor Bahru.

Langkah tersebut jika direalisasikan, akan menjadikan BSI sebagai pintu masuk khusus untuk kenderaan pelawat sahaja, sekali gus mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keberkesanan pengurusan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan memandangkan peningkatan jumlah kenderaan yang melalui pintu masuk utama itu dari semasa ke semasa.

“Mungkin ia melibatkan perbelanjaan besar, tapi kita akan mulakan dengan kajian dahulu. Kalau perkara ini tidak dimulakan sekarang, kita tidak akan melihat sebarang penambahbaikan di BSI ini.

"Kita akan cadangkan kepada PKPS dan Kementerian Dalam Negeri untuk laksanakan kajian, termasuk melantik perunding bagi menilai keberkesanan aliran keluar masuk pelawat,” katanya.

Antara aspek yang bakal diberi tumpuan dalam kajian tersebut termasuk penilaian semula terhadap pelan susun atur BSI serta aspek logistik dan kecekapan operasi keseluruhan.

Tan Sri Dr. Ismail berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke BSI hari ini bagi memantau kecekapan penguatkuasaan serta tahap integriti petugas di lokasi terbabit.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE