BESUT, 12 Jun- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu tampil membantu memudahkan urusan pendaftaran kematian 15 pelajar yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, inisiatif itu diambil bagi meringankan beban keluarga mangsa yang masih berduka, tanpa perlu hadir sendiri ke kaunter JPN untuk urusan permohonan dan tuntutan sijil kematian.
“Kami faham kebanyakan waris tinggal jauh dari pejabat JPN, jadi kita ambil langkah turun padang untuk selesaikan pendaftaran kematian ini. Diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat memudahkan dan meringankan urusan keluarga mangsa,” katanya.
Setakat ini, lapan sijil kematian mangsa yang berasal dari daerah Besut telah dihantar terus ke kediaman waris oleh pegawai JPN.
Lima lagi sijil telah dituntut sendiri oleh waris di kaunter, manakala dua lagi permohonan masih dalam proses.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kematian kepada ibu kepada Allahyarhamah Nur Dalila Farhana Muhammad Isma di Kampung Tok Dor, Besut.
Suasana hiba menyelubungi pertemuan itu apabila ibunya, Norinda Kasim, tidak dapat menahan sebak menerima dokumen yang melambangkan perpisahan abadi dengan anak yang disayang.
"Rasa lain sangat... Dulu kita terima sijil kelahiran warna hijau, masa dia lahir. Tapi yang ni... lain. Orangnya dah tak ada, sedih sangat. Tapi saya reda, sebab dia memang dah pergi. Cuma tinggal doa je sekarang. Kenangan tu memang tak boleh lupa... dia manja, rapat sangat dengan saya. Sikit-sikit panggil ‘Ma Ma’,” katanya dalam nada sebak.
Selain keluarga Allahyarhamah Nur Dalila, penyerahan sijil turut dilakukan kepada waris Allahyarhamah Nur Ayuni Maslan di Felda Tenang, Allahyarham Fakhrul Ariff Rosdi di Pasir Akar, dan Allahyarhamah Nurul Izyanti Muhammad Azahar di Kampung Padang Luas.