fb fb fb fb fb

Nahas Air India 171: Malaysia ucap takziah

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Jun - Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat nahas tragis pesawat Air India 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan perkhabaran berkenaan insiden tersebut.

"Saya amat berdukacita apabila mendapat tahu tentang nahas tragis Penerbangan Air India 171 berhampiran Ahmedabad, India. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah yang setulus hati kepada keluarga serta orang tersayang semua yang terlibat," ujar beliau dalam hantarannya.

Katanya, Malaysia bersolidariti bersama India dalam usaha bantuan yang sedang dilaksana dan turut sama bersedih dengan kejadian ini.

"Kami turut merasai kesedihan yang dialami oleh India dan berdiri bersama-sama dalam solidariti penuh ketika usaha bantuan sedang dijalankan. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan yang amat menyayat hati ini," kata beliau lagi.

Media melaporkan, sebuah pesawat Air India dalam penerbangan ke London membawa 242 penumpang termasuk 12 anak kapal, terhempas sebaik sahaja berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India, pada Khamis.

Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia menaiki pesawat itu.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM