fb fb fb fb fb

COVID-19, PRU-15, dijangka antara fokus Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Isu menangani COVID-19, ekonomi rakyat, pendidikan, hubungan antara kaum serta pendidikan antara topik perbincangan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, isu Pilihan Raya Umum ke-15 berkemungkinan turut disentuh perwakilan.

Menurutnya, perwakilan bebas bercakap asalkan tidak menyentuh isu sensitif.

Perhimpunan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini secara bersemuka, akan dihadiri seramai 5, 571 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara.

"Akan dihadiri oleh keseluruhan 5, 571 perwakilan dari seluruh negara. Kita juga akan mengadakan satu majlis penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh UMNO Negeri. Ini kali pertama diadakan selepas Ucapan Dasar Presiden dan anugerah pemenang sayang barah, cipta logo, video pendek, penulisan puisi sempena jubli intan UMNO," katanya.

Katanya, turut memeriahkan Perhimpunan Agung UMNO itu nanti ialah program pameran oleh 20 agensi kerajaan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, semangat kemenangan serta kesyukuran memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, selain kejayaan diraih rakan akrab Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan turut dibawa perwakilan pada perhimpunan itu.

"Siri kemenangan BN dan rakan BN beri nafas baharu kepada UMNO dan perwakilan. Ia akan mewarnai perhimpunan kali ini, UMNO dan BN bangkit untuk meneruskan perjuangan menerajui negara," katanya.


(Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini) 

Sementara itu, beliau berkata, perhimpunan berkenaan yang menarik perhatian lebih 500 pengamal media, termasuk 15 agensi berita asing, turut menjemput komponen BN, Friends of BN, pesuruhjaya tinggi dan duta asing bagi mengikutinya.

Bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 di Dewan Merdeka, dewan utama yang digunakan bagi perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri serta perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021, akan digunakan separuh kapasiti dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Perwakilan yang positif atau mempunyai gejala tidak dibenarkan hadir.

Perhimpunan Agung UMNO 2021 dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan pada Rabu, diikuti persidangan penuh ketiga-tiga sayap pada esoknya.

Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka pada Jumaat, diikuti ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka.

Pada 25 Disember tahun lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Januari lalu terpaksa ditangguhkan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri negara pada penghujung Disember.

Media Baharu