JOHOR BAHRU, 26 Januari - Dua buah sekolah dan satu Kolej Vokasional di Johor diarah tutup selepas berlaku penularan kes COVID-19.
Ia membabitkan sembilan murid dan tujuh guru yang didapati positif.
Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik dan Sekolah Kebangsaan (SK) Larkin Satu.
Manakala Kolej Vokasional yang diarah tutup ialah Kolej Vokasional Tanjung Puteri.
"SK Nong Chik yang ditutup bermula 17 hingga 27 Januari itu, melibatkan tiga murid dan dua guru.Manakala SK Larkin Satu yang ditutup bermula 22 hingga 28 Januari pula melibatkan dua murid dan lima guru.
"Bagi Kolej Vokasional Tanjung Puteri pula, arahan penutupan bermula dari 21 hingga 27 Januari dengan melibatkan empat orang murid," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Aman Rabu berkata arahan penutupan sekolah dibuat mengikut Akta 342, bagi mengekang penularan Covid-19.
"Penutupan bagi kerja-kerja siasatan dan kawalan COVID-19 oleh Pejabat Kesihatan Daerah, serta mengenalpasti kontak rapat dengan segera," katanya.