KOTA BHARU, 26 Januari - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM 1.7 juta di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri, Kota Bharu, awal pagi semalam.
Pegawai Pemerintah, Superintenden Mat Shukor Yusof berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota risik telah membuat pemerhatian di kawasan Pantai Cahaya Bulan dan melihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pasukan risikan kemudiannya mengekori kedua-dua kenderaan itu sehingga di kawasan Salor Lama, sebelum mereka mereka menyedari kehadiran pasukan berkenaan dan bertindak memecut laju kenderaan yang dipandu hingga ke kawasan Lundang Paku. Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan yang diekori itu hilang dari pandangan.
"Lebih kurang setengah jam kemudian, sampai ke satu kawasan semak di Kampung Lundang Paku, pasukan risik telah menemui ada kesan kenderaan keluar masuk ke kawasan semak berhampiran rumah tidak bernombor.
"Pemeriksaan yang dibuat menemui bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi 220 kotak rokok yang berisi 11,000 karton rokok atau 2.2 juta batang rokok putih. Manakala kenderaan yang dipandu suspek tidak dijumpai.
"Selama dua jam menunggu, tidak ada pihak yang datang menuntut rokok tersebut. Kami membawa balik kesemua barang yang dirampas itu ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya", katanya dalam sidang media di Kem Batalion PGA8, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh penyeludup adalah melalui kapal dagang dari
Laos dan Vietnam yang kemudiannya melalui Laut China Selatan dan masuk ke perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.