fb fb fb fb fb

'Citra Reka Busana', RTM persembah rekaan busana warisan negara

Datuk Jamal Abdillah

KUALA LUMPUR, 3 Mac- RTM bakal mempersembahkan program 'Citra Reka Busana' yang mengangkat warisan fesyen Malaysia yang disampaikan dalam bentuk muzikal.

Program berkenaan merupakan cetusan idea Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai garapan keunikan berpadu keindahan budaya dalam persembahan yang sarat dengan seni, sejarah mengenai fabrik serta estetika pada reka bentuk pakaian, corak fabrik dan busana.

Citra Reka Busana bakal membawa penonton menyelami keindahan fabrik, pakaian dan aksesori warisan Malaysia dari era pra-kemerdekaan hingga zaman moden. Ia bukan sekadar pertunjukan fesyen biasa, ibarat sebuah penceritaan sejarah dengan gabungan sentuhan seni dan hiburan memukau.

Penonton juga akan dibawa menyaksikan naratif yang menonjolkan kehalusan seni tekstil dan evolusi busana, diperkaya dengan persembahan tradisional mempesona serta kelunakan suara emas artis terkemuka tempatan yang juga bintang kelahiran RTM iaitu Datuk Jamal Abdillah, Noraniza Idris, Asmidar, Rezza Shah (Bintang RTM2024).

0303 KP RTM CITRA REKA BUSANA 2Fauziah Gambus (kanan) dan Liza Aziz

Selain itu turut membuat persembahan di pentas sama ialah Liza Aziz, Marsha Milan, Suki Low, Siti Nordiana, Mimi Fly, Nadeera, Nikki Palikat, Umai, Haziq Rosebi, Fauziah Gambus, Alena Murang dan Dewi Seriestha.

Sementara itu barisan hos Citra Reka Busana pula terdiri daripada penyampai terkenal RTM Andy Reza, Ivan Toh, Nen Tebabo, Syafiqah, Munawar Azmie, Dyya Nawai, Hafez Dolson, Syairul Islam, Raja Suefia, Irfan Nasution, DJ Sonic, DJ Sidi, DJ Anna, dan DJ Nurrulista.

Mereka turut membuat persembahan dalam program tersebut dengan deklamasi puisi dan gurindam menggugah rasa yang juga menggabungkan karya dalam loghat tempatan seperti loghat Pantai Timur dan loghat Utara.

Sepanjang dua jam bersiaran, alunan muzik tradisional mengiringi peragawan ternama yang menggayakan busana pelbagai era antaranya elemen persembahan Mak Yong, Zapin Troupe, Inang Cina dan muzik Rebab.

Antara pereka tempatan yang turut serta pada program itu termasuk Salikin Sidek, Suhara Jewels, Melinda Looi, Datuk Tom Abang Saufi, Raja Perak dan Baju Bodo dalam bentuk runway.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Giat Mara, Kolej Komuniti Chenderoh, Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malaysia Fashion Creativity Award (MFCA).

Program berkenaan bakal bersiaran pada 5 April, pukul 9.00 malam dan boleh ditonton menerusi TV2 atau RTMKlik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI