fb fb fb fb fb

Elak keresahan rakyat, keputusan kerajaan perlu jelas- Anwar

Anwar menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya./ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 Mac- Keputusan kerajaan perlu disampaikan dengan jelas kepada semua rakyat terutamanya penjawat awam.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini penting untuk mengelakkan keresahan dalam kalangan penjawat awam dan rakyat keseluruhannya.

"Sebagai contoh, kerajaan akan membahas Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam minggu ini, yang perlu diteliti oleh semua penjawat awam.

"Saya minta KSN (Ketua Setiausaha Negara) sampaikan RUU ini dan saya percaya sudah pun dimaklumkan kepada penjawat awam, tapi kalau boleh dihebahkan lagi, kerana di antara pandangan saya yang saya tegur minggu lalu dalam mesyuarat Kabinet ialah kadang-kadang keputusan ini tak sampai ke bawah.

"Jadi di bawah itu ada keresahan, keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan dan segala tindakan harus disampaikan bukan sahaja dalam mesyuarat pasca Kabinet tetapi yang dipengerusikan oleh Menteri, KSU (Ketua Setiausaha), Ketua Jabatan, tidak hanya terikat dengan urusan jabatan mereka sahaja," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Beliau menekankan perkara itu kerana iltizam kecekapan perkhidmatan awam perlu difahami oleh semua penjawat awam.

Katanya, ia berkaitan dengan penilaian tugas, proses kerja, dan prosedur operasi standard (SOP) setiap penjawat awam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM