fb fb fb fb fb

Ciri pintar rangkaian Grid Nasional percepat pemulihan gangguan elektrik

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di negara berada dalam keadaan stabil dan mampu dipulihkan dengan segera jika terdapat gangguan.

Ini seperti yang dibuktikan dalam kejadian gangguan bekalan di beberapa kawasan tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dalam satu kenyataan berkata, hasil kecekapan pasukan teknikal TNB, proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas, selain ciri-ciri pintar rangkaian Grid Nasional itu sendiri yang memudahkan kerja pengesanan dan pemulihan bekalan.

"Kami telah dapat menyelesaikan masalah gangguan dalam tempoh wajar, malah ada kawasan yang pulih seawal 20 minit selepas terputus bekalan."

"Pemulihan bekalan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap hasil pelaburan secara berterusan TNB memodenkan grid termasuk mendigitalkannya agar rangkaian pembekalannya lebih stabil, fleksibel dan konsisten,” katanya mengulas kejadian tersebut.


(Datuk Ir. Baharin Din)

Ir. Baharin yang juga Presiden TNB menjelaskan kejadian yang berpunca daripada kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, Johor itu adalah kes terpencil.

Justeru, beliau optimis menyatakan TNB akan terus menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap dengan sentiasa melaksanakan senggaraan dan membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan sistemnya.

"Keupayaan kami memulihkan bekalan hari ini adalah berikutan pelaburan besar dan berterusan TNB bagi menaik taraf sistem dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," katanya lagi.

Baharin seterusnya memohon maaf kepada pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan itu dan TNB akan menjalankan siasatan terperinci bersama pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi mengambil langkah-langkah pencegahan dan usaha penambahbaikan.

Kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu tidak melibatkan sebarang kebakaran dan telah pun beroperasi sepenuhnya.

Media Baharu