fb fb fb fb fb

Ciri baharu MySejahtera berupaya kawal penyakit berjangkit

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Ciri-ciri baharu pada aplikasi MySejahtera berupaya mengawal penularan penyakit berjangkit lain termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan segera.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berpendapat menerusi aplikasi berkenaan, masa saringan, langkah pengesanan dan kawalan akan menjadi lebih pantas dan mudah.

"Kita boleh melihat risiko apa yang berlaku di kawasan tersebut contohnya terdapat kes yang ramai belum lengkap vaksin ataupun terdapat kemasukan varian baharu ini menyebabkan kes berlaku setempat dan boleh dikesan dengan lebih mudah dan cepat melalui aplikasi ini.

"Jadi ini merupakan satu yang jika Malaysia boleh jalankan dengan berkesan, untuk kawalan penyakit berjangkit sangat-sangat bagus," katanya kepada RTM.

(Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh)

Beliau menjelaskan demikian sebagai mengulas fungsi terbaharu aplikasi MySejahtera yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Tambah Sharifa Ezat, fungsi HotspotTracker atau menjejak kawasan titik panas ini akan menjadi mudah jika pengguna berdisiplin berkongsi maklumat terkini melalui aplikasi tersebut.

Namun, beliau tidak menafikan akan wujud isu hak peribadi pengguna, di mana aplikasi tersebut mampu mengesan kedudukan pesakit atau mereka yang berisiko mendapat penyakit berjangkit.

Media Baharu