fb fb fb fb fb

CEO MYAirline letak jawatan atas sebab kesihatan

(Rayner Teo)

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rayner Teo berkuat kuasa 7 Oktober 2023 atas sebab kesihatan.

Menerusi satu kenyataan, MYAirlines memaklumkan susulan perletakan jawatan Rayner Teo, Ketua Pegawai Operasi MyAirline Stuart Cross akan memikul tanggungjawab sebagai CEO sementara.

"Lembaga Pengarah MYAirline akan melantik CEO baharu dalam masa terdekat, ia juga tertakluk kepada kelulusan kawal selia," kata MYAirline dalam satu kenyataan hari ini.

MYAirline berkata visi dan kepimpinan Teo telah memainkan peranan penting dalam peningkatan syarikat penerbangan itu sejak ia dilancarkan pada Disember 2022.

Ia juga mengatakan bahawa lembaga pengarah telah merakamkan ucapan terima kasih kepada Rayner atas sumbangan cemerlangnya dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada MYAirline.

“Kami menyokong keputusan Rayner untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraannya. Dengan pasukan kepimpinan syarikat penerbangan yang berpengalaman sedia ada, komitmen kami kepada penumpang, pekerja dan rakan kongsi kami kekal kukuh.

"Kami akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan mengekalkan standard keselamatan dan kebolehpercayaan kami yang tinggi," katanya.



(Rayner Teo)

Media Baharu