fb fb fb fb fb

Dasar Ekonomi MADANI, gagasan lengkap pelbagai aspek - PM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Dasar Ekonomi MADANI yang digagaskan kerajaan bukan sahaja bertunjangkan kemampanan ekonomi dan fizikal semata-mata, malah turut merangkumi nilai manusiawi yang memenuhi pelbagai tuntutan keadilan.

Dasar kerajaan itu termasuk menegakkan tatakelola berintegriti demi menyelamatkan negara daripada ketirisan dan penyelewengan akibat rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaanya juga mengambil kira situasi semasa negara yang tidak boleh dipadankan dengan kerangka barat.

"Walaupun kita ambil kira pandangan pakar antarabangsa termasuk Bank Dunia, jangan hanya menjiplak dan kemudian jadikan sebagai agenda negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama. Oleh sebab itu, kita buat anjakan ini yang mana perlu berteraskan nilai.

Dalam Wawasan Kemakmuran Bersama, tiada ditekankan soal nilai. Tiada penekanan kuat kepada nilai tatakelola. Tidak ditekankan permasalahan tempatan yang berlaku di Malaysia, umpamanya. Itu hanya kerangka global. Ada baiknya tetapi kelemahannya kerana tidak beri penekanan ataupun masalah semasa," kata Anwar di Parlimen, hari ini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung perbezaan antara Dasar Ekonomi Madani dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2023.

Tambah Anwar, Ekonomi MADANI merupakan satu kerangka dasar yang lebih jelas, menjadi panduan kepada sektor kerajaan dan swasta.

Pelaksanaanya juga diperincikan menerusi dasar lain seperti Kajian Separuh Penggal RMKe-12, Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu.

Media Baharu