KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mencari jalan bagi memastikan isu kenaikan harga barang dapat dikurangkan.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata pelbagai inisiatif terus dilaksana dalam menangani isu tersebut termasuk program penyeragaman harga barangan antara bandar dan luar bandar melibatkan barangan kawalan bersubsidi.
Selain itu, pihaknya telah meningkatkan pemantauan di lapangan secara berkala dalam mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.
"Kita ada 2,200 penguat kuasa yang memantau bekalan setiap hari. Dalam masa sama, kita ada 900 pegawai pemantau harga, yang turun memeriksa harga di premis-premis seluruh negara setiap hari.
Tidak cukup itu, kita ada pasukan petugas khas yang akan melakukan pemeriksaan mengejut serta ada jadual yang ditetapkan, selain bertindak mengikut aduan rakyat," kata Fuziah di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukan ADUN Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodi di Dewan Rakyat.
(Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh)
Sementara itu, KPDN memaklumkan pihaknya telah melancarkan platform Aduan Suri, Januari lalu bertujuan untuk membantu golongan wanita menyalurkan aduan dan mempertahankan hak mereka.
Sistem aduan terbaharu itu dibangunkan menerusi kod QR.
"Kita ada sembilan saluran untuk pengguna, antaranya aplikasi Ez-ADU, boleh hubungi talian yang disediakan, mangsa boleh hadir ke pejabat untuk buat aduan.
Terkini, kita lancarkan Aduan Suri. Hanya perlu imbas kod QR dan terus boleh buat aduan. Ini kerana kami berpandangan, golongan wanita adalah yang paling ramai terkesan ketika berbelanja," tambah Fuziah.
Dalam pada itu, sebanyak RM890 juta nilai jualan direkodkan menerusi Jualan Rahmah sepanjang program berkenaan dilaksanakan.
Menerusi itu, 4 juta rakyat disasar telah menerima manfaat bawah inisiatif Payung Rahmah.