fb fb fb fb fb

CEO didakwa buat tuntutan PERKESO palsu

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM112,000 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun tertuduh Noorun Nashriah Ramli mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh tertuduh yang merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) didakwa membuat tuntutan palsu melalui seorang individu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 PERKESO.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021.

Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RMM35,000 dan menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes.


(Kesemua kesalahan itu dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya
antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021)

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain seorang pengusaha kantin sekolah Amir Shariffuddin Haron dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada PERKESO bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM78,700.

Kedua-dua tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama sebuah syarikat melalui seorang lelaki kepada seorang pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat PERKESO bagi menuntut insentif tersebut.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak pada 5 Mac dan 1 Jun 2021.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 manakala Hakim Suzana Hussin membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dan sebutan semula kes masing-masing ditetapkan pada 14 Februari dan 10 Februari ini.

Media Baharu