KUALA KRAI, 6 Julai- Tauliah penceramah bebas yang ditahan kerana disyaki menyebarkan video seks bersama empat isterinya difahamkan pernah ditarik balik pihak berkuasa agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ketika ini masyarakat diminta supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana penceramah yang diberi tauliah dan didapati melakukan sesuatu yang mencemarkan institusi agama, tauliah mereka akan ditarik balik pihak berkuasa agama.
Selain itu orang ramai diingatkan supaya membuat semakan dengan Jabatan Mufti dan Majlis Agama negeri sebelum menjemput mana-mana penceramah bagi memastikan keabsahan tauliah mereka.
"Menerusi maklumat, saya difahamkan bahawa individu berkenaan pernah diberikan tauliah, namun ia ditarik semula," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Wacana Dakwah Al-Falah: Memacu Ummah Madani Bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian di sini.
Semalam media melaporkan, polis menahan penceramah bebas berusia 39 tahun selepas disyaki menyebarkan video seks bersama empat isterinya pada Selasa lalu.
Individu berkenaan direman empat hari hingga hari ini dan diberikan jaminan polis sementara proses melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Mohd Na'im turut menyarankan institusi pondok di negara ini untuk berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan seperti penyelengaraan bangunan dan sebagainya.
Dengan pendaftaran itu, ia akan memudahkan pihak berkenaan menerima bantuan daripada kerajaan.